2.1.09

Singgah di Gerigat ?

Waktu cuti sekolah. Dia masih ingat. Waktu itu dia, adiknya Roni, dan ayahnya Ijo, belayar dari Rajang ke Kuching. Katanya, ayahnya memang pakar dalam hal pelayaran. Bekas jurumudi di Selalang, dan apabila berhijrah ke Rajang, dia memperoleh perahu sendiri dan sering ke Jae dekat Kuching. Waktu Jepun pun, mengikut bapanya, sebelum Selalang, dia memang berdayung dan belayar ke Jae dan Kuching, membawa dan menyelamatkan orang . Jadi kepakaran itulah digunakannya belayar dari Rajang ke Kuching, dan balik.

“Berapa tahun dulu ‘tu? ”

“ Saya masih di sekolah rendah. Tahun 1959.”

“ Wow ! Hampir 50 tahun yang lalu.”

“ Yalah. Saya darjah 3; adik saya darjah 2, tapi kami berasa seronok pergi-pergi begitu. ”

“ Apa yang seronoknya ?”

Mengikut ceritanya, dia dan adiknya berjalan di pantai pasir dari Gerigat sampai ke suatu tempat selepas kampung yang bernama Alit. Jauh juga mereka berjalan, katanya. Dilihat dari atas belon sekarang memang tampak tidak jauh, tetapi apabila di bawah `tu terasa juga jauhnya. Bapanya berdayung di laut. Apabila menghampiri Kabong barulah bapanya mengambil mereka berdua menyeberangi Sungai Kabong dengan perahu.

Di Gerigat , katanya, mereka berdua memancing ikan di buritan perahu berumpankan ikan masin sahaja semalam-malaman itu, manakala bapanya sedang tidur dalam perahu yang berlabuh di situ. Dihulur sahaja tali kail tetap dapat ikan. Ikan apa ? Bedukang. Wah, sibuklah mereka berdua keesokan harinya sewaktu bapa mereka berdayung ke Meludam, membuat ikan masin bedukang. Dijemur di atas kajang perahu : kering, untuk diberikan kepada ‘adik- kakak’ di Jae.

Di Jae, mereka tidak menyangka ‘adik-kakak’ membalas dengan bermacam-macam barang, terutama beras baru. Orang Sarawak kata, beras uma, walaupun diperoleh dari sawah. Itu Jae dulu. Apabila usunya ke Jae baru-baru ini , dengar ceritanya, dia terperanjat melihat Jae jauh berubah. Dia mencari Sungai Jae yang dulunya ada senik (udang kecil) , sekarang tiada sungai itu. Bapa saudaranya khabarnya gembira kerana Jae masih terkenal dengan kelapa. Malah Iboi dan Pelanduk masih merupakan jiran terdekat, tetapi di antara kampung-kampung itu tidak ada lagi bertanah becak. Semuanya berasfal. Yang ada itu untuk sawah padi, tanaman kelapa, jagung, dan pelbagai lagi.Tempat itu memang kaya dengan tanam-tanaman.

Dia masih ingat , dulu dari Jae ke Kuching mereka menaiki perahu layar. Pukul 8.30 pagi bertolak dari Jae, belayar atau berdayung di laut, sampai di Kuching pukul 4.30 atau pukul 5.00 petang. Bayangkan, 50 tahun yang lalu ! Kini kita memandu pukul 7.00 pagi dari Kuching , sampai di Jae sebelum pukul 9.00 pagi, belum lagi dikira singgah minum di Asajaya ( dulu dipanggil Nonok).

“Kau pernah berdayung di Sungai Sarawak?”

“Ya, pernah. Suatu ketika bila kami sekeluarga ke Kuching, percaya atau tidak, aku mendayungkan perahu di tengah-tengah orang sedang berlumba perahu. Aku betul-betul tidak tahu waktu itu regata besar di Sungai Sarawak. Orang tua aku pun tidak tahu. Manalah kami tahu waktu itu. Aku masih ingat, sewaktu aku berdayung itu orang sedang berlumba bot laju. Orang meneriakkan kami.”

“ Jadi, kamu dayungkan juga perahu kamu?”

“ Kami hendak ke Kampung Boyan sebenarnya. Jadi, kami berikatlah di tepi hingga lumba perahu tamat”

“ Yang kau kata seronok tadi ?”

“ Bila kuingat-ingat, banyak peristiwa yang menyeronokkan,.”

“ Contohnya ?”

Dia ceritakan pada kawan-kawannya. Waktu cuti sekolah tiba sahaja, kecuali musim tengkujuh, ayah atau datuknya akan membawa mereka ke Jae atau Kuching – dengan perahu dayung atau layar. Yang paling menyeronokkan, katanya, suatu ketika dia dan adiknya dengan bapanya singgah di Gerigat dalam perjalanan pulang dari Jae. Dia ingat benar, waktu itu bulan mengambang. Dia dan adiknya tidur dalam perahu, dan bapanya mengemudikan perahu dan menjaga layar sambil berzikir, kata orang Sarawak. Sebenarnya bermarhaban. Huh, katanya, yang paling menyeronokkan dalam hidupnya adalah apabila mereka sedang tidur berselimutkan kain dalam cuaca dan suasana yang baik dengan bulan mengambang di atas, dan bapanya sedang bermarhaban di buritan perahu sambil dibuai puputan bayu malam dan mendengar air yang berberai dilanggar perahu . Dia , katanya, walaupun tidur tetapi sekejap-sekejap sedar. Mereka singgah di Gerigat, tetapi dia dan adiknya tetap berasa sedap, dan tidak mahu angkat-angkat. Mereka bermalam di Gerigat., tetapi waktu sudah jauh malam yang diterangi oleh cahaya bulan sahaja.

Selalunya mereka sampai di Gerigat awal malam, katanya, tetapi itu dalam perjalanan ke Jae dan Kuching, bukan dari Jae atau Kuching, atau jika mereka mansang (pergi ke depan) .Mengikut ceritanya , apabila mereka berikat di dermaga belakang deretan kedai di situ , ada sahaja bunyi harmonika dimainkan dari kedai itu – yang pada masa itu dia fikirkan mungkin salah seorang pekedai Cina di atas itu. Maksudnya tidak mungkin dari sumber lain, misalnya radio. Bunyinya menyayukan dan memilukan, katanya. Semacam melekat dalam ingatan, katanya, bahawa apabila sampai sahaja di suatu tempat, biasanya awal malam, kerana orang tuanya mahu berehat, misalnya di Gerigat atau di Kabong, terdengarlah orang bermain alat muzik yang mendayu-dayu dan sangat membuat dia sayu. Mereka berlabuh di belakang deretan kedai biasanya - mungkin di dermaga, dan selalunya pada waktu air agak tinggi. Dalam pada itu terdengar juga bunyi bising ‘keretek, tek, tek’, katanya, seperti bunyi mahjong, istilah yang baru diketahuinya sekarang ini. Semasa kecil, dia fakir, tempat mereka bermalam seperti itu ada empat atau lima: rupa-rupanya Kabong dan Gerigat sahaja kalau mereka mansang. Pernah juga – seingatnya sekali sahaja – mereka bermalam di Sebuyau. Barulah dia tahu sekarang bahawa tempat singgah dan bermalam itu ada dua sahaja; dan Sebuyau ini di singgahi oleh mereka pada waktu siang, itupun sekali sahaja, yang sebenarnya tidak jauh dari Jae. Terpaksalah mereka sekeluarga bermalam di situ kerana , kononnya, tiada angin , atau kerana, agaknya, lambat berangkat dari tempat singgah tadi iaitu Gerigat atau Kabong, .

Rupa-rupanya dia banyak belayar di laut, di antara muara Rajang dan Kuching, yang sekarang ini dilalui oleh bot ekpres. Apabila kita mempelajari geografi di sekolah rupa-rupanya ada kaitan dengan yang diistilahkan sebagai angin monsun. Bukankah dalam sejarah kita diberitahu bahawa angin bertiup dari arah China mulai Januari, ke China mulai bulan Julai.

“ Jadi, kau pandailah memasang dan menutup layar.”

“ Eh, itu 50 tahun yang lalu ! Mana pandai lagi !”

“ Sikit-sikit itu adalah, ya ?”

“ Sikit-sikit itu berapa peratus sahaja. Adakah tidak sepuluh peratus”

“ Kita ini anak laut tahu. Anak laut mesti pandai dan tahu segala perbuatan: berdayung, berkayuh, mengibar jala, malah menebang pokok, memarang , mengupak kulit kelapa , dan sebagainya.”

“ Wah, tercengang aku dibuat kau begitu. Manalah aku tahu lagi segala perbuatan itu.”

“ Kau kata kau pernah berdayung di laut . Yang lain itu pernah kaubuat?”

“Yalah, tetapi tidak sepandai orang yang melakukannya selalu.”

“ Aku sahaja bertanya pada kau.” Dia tersenyum. “ Aku pun tak reti nak buat itu semua, sungguhpun aku anak kampung. Eh, ceritakan sikit pengalaman kau berdayung tadi.”

Memang, kalau hendak diceritakan memang adalah pengalaman itu. Dia pernah membantu datuknya berdayung dari Kuching ke Lubuk Wak di Simunjan, tetapi itu segelintir sahaja pengalamannya, katanya. Mula berangkat dari Muara Rajang ke Jae, berdayung ; di Loba Badek , berdayung; di Muara Tebas, berdayung ; di Sungai Sarawak, berdayung ; dan bila nak sampai di mana-mana pun, berdayung. Itu berdayung sebelah kanan di haluan perahu; datuknya berdayung di buritan perahu sebelah kiri . Berdayung dua belah pernah dia buat sewaktu dia di kampung. Berkayuh pula: tiap-tiap kali balik ke kampung kerana bercuti sekolah dia akan membantu bapanya dengan mengayuhkan perahu atau meluruskannya apabila meluncuri air , sama ada untuk pergi menesak (menangkap ikan seperti temakol tetapi ada seperti layar di belakang ikan itu ) , minto (menangkap ketam dengan menggunakan pinto), atau menampar (menangkap ikan dengan menamparkan ikan itu dengan pencedok yang nipis sambil memasangkan pelita di kepala). Dia mengayuhkan perahulah. Apabila dia terbaca di akhbar, sekarang, bermacam-macam peristiwa orang dibaham buaya dan pelbagai bahaya air , dia berasa kecut mengenang peristiwa masa kecil, katanya. Dia mula mengurut dada dan berkata, “ Nasib, nasib.” Apabila dikenangnya . dia mula insaf, katanya,“ Allah masih memanjangkan umurku supaya aku beramal dan beribadat”

“ Nah, adalah ‘tu pengalaman sikit-sikit: berdayung, berkayuh, atau belayar di laut”

“ Ala, sikit ‘aja. ”.

Menurut katanya, sewaktu belayar di laut dia, datuknya dan sepupunya dari Jae, pernah terkena beting di Pulau Burung. Mereka terjun ke laut menyorong perahu. Katanya, kalau tidak salah ingatannya, mereka dalam perjalanan ke Kuching . Apabila dilihatnya dari tingkap kapal terbang Fokker kini, wow !, berani sungguh dia waktu itu ! Kalau diratah oleh ikan yu…..isy!! Agak jauh juga dari Pulau Burung itu ! Apatah lagi dari daratan ! Juga , menurut ceritanya, ada sebuah lagi pulau batu di muara Batang Saribas yang hampir dilanggar oleh bapanya kerana air deras. Dia masih ingat bahawa dia turut mengayuhkan perahu mereka dengan kuat. Kalau tidak....isy !! Dilihat kini dari tingkap Fokker, itulah pulau kecil di muara sungai itu yang hampir mengaramkan mereka !

“ Tapi, kau kata seronok …..ihh…seronok apa begitu ?”

“ Yalah, bahaya itu ada. Di mana-mana pun ada, tapi seronok itu tetap
seronok ”

Bermacam-macam peristiwa sewaktu pergi-pergi begini dengan perahu, katanya. Dia pernah ke sebuah kampung yang bernama Sebangan. Mengangkut buah tembikai untuk dijual di Kuching, katanya. Pernah mereka sekeluarga dalam perjalanan ke Jae bermalam di Kabong. Menurut ceritanya, mereka hampir-hampir karam terduduk. Maksudnya air tiba-tiba penuh dalam perahu waktu mereka tidur. Seingatnya , waktu itulah sesampai sahaja di Kuching, setelah mereka sehari dua berada di Jae, mereka terserampak dengan orang regata. Ibunya , katanya, sebelum itu melarang mereka supaya jangan bising dan berbahasa yang bukan-bukan , iaitu bahasa Melanau Rajang, yang asing bagi orang Kuching. Waktu itu juga, katanya lagi, mereka menambatkan perahu mereka di pangkalan dekat dengan Ban Hock Wharf sekarang ini, yang menyebabkan dia tersenyum dan menggelengkan kepala.

“ Mengapa tersenyum dan geleng kepala?”

“ Mana tidak. Saya teringat akan tiga peristiwa.”

“ Hah ! Apa tu ?”

“ Di situlah saya dan adik saya, Roni, mencari tempat buang air. Ibu saya kata, “Buang saja sambil mandi dalam sungai”. Tup, timbul benda itu ! Saya dan adik saya panik bukan main lagi. Malu ! Itu peristiwa satu. Sewaktu senggang saya dan kakak saya, Rainah, berjalanlah di bandar Kuching. Di Pangkalan Batu di depan Pusat Pelancongan itu ada traffic light, waktu itu . Lampu hijau bertukar menjadi merah. Melihat kereta dan basikal berhenti, kami berdua yang berjalan kaki pun berhenti juga ! ”. Ketawa kecil.

Dalam ketawa, “ Yang ketiga ?”

“ Ini peristiwa orang lain – orang Melanau di kawasan saya. Mereka berdua membawa buah tembikai. Orang Kuching bertanya dari atas, “ Apa dibawa?”
Mereka tidak ingat apa orang Kuching menyebut buah yang dijual oleh mereka . Mereka pun menyahut , “ Buah semiki”. Dengan segera mereka bersembunyi di bawah kajang.

“ Apa itu buah semiki ?”

“ Mana ada . Mereka menggabungkan buah semangka dengan buah diki, nama tembikai bagi orang Melanau kawasan saya .”. Ketawa lagi.

Dalam ketawa lagi, “ Itu Kuching 50 tahun dulu, ya?. Ingat tak macam mana bandar Kuching waktu itu ?”

“ Tak ingat. Yang aku ingat, di situlah pusat bandar waktu itu, yang ramai dengan manusia.”

“ Oh, yang tempat kau dan keluarga menambat perahu itu.?”

“ Yalah. Di belakang orang menjual bermacam-macam buah sekarang ini dekat dengan stesen teksi itu .”

“ ‘Kankah di seberang itu Kampung Tanjung ?”

“ Yalah. Bermacam-macam peristiwa di pangkalan itu. Saya masih ingat. Dalam salah satu trip ke Kuching yang dibawa oleh bapa saya, saya, adik saya yang bernama Roni tadi, dan sepupu saya dari Rajang, yang kami panggil Lai sahaja. Kami dibawa oleh ayah sepupu saya yang telah lama menetap di Kuching setelah isterinya atau ibu sepupu saya meninggal, untuk melihat-lihat bandar Kuching. Ke mana kami dibawanya? Ke Flats KMC di Padungan kerana di situ ada lif , mungkin yang pertama di Kuching pada masa itu, dan melihat padang lumba kuda dari Flat KMC. “

“ Tahun berapa ‘tu?”

“ 1960, saya dalam darjah 4. Ayah sepupu saya sudah meninggal, dan kini sepupu saya berkeluarga dan tinggal di Kuching . Seingat saya itu kali terakhir saya pergi-pergi begitu ke Jae dan Kuching.”

“ Itulah perubahan”

“ Ya. Perubahan” . Dia sedih nampaknya. Kini umurnya mencecah angka 57. Dia menetap dan berkeluarga di Kuching kini.

“ Saya sebut tentang berdayung ke Lubuk Wak tadi. Sebenarnya sebelum bertolak pada malam itu saya sempat melihat orang bergendang dalam perahu balok besar . Ke mana pergi perahu itu, tidaklah saya tahu, tetapi saya pasti tidak ke Jae dan tidak juga ke Simunjan.”

“ Hey, Jae terkenal dengan gendang kini ”

“ Yalah. Kini orang bergendang waktu kahwin juga, tetapi bergendang dan bertandak pada waktu siang. Dulu pada waktu malam selepas isyak sampai sebelum subuh.”

Selepas bertukar-tukar cencalu dengan padi di Lubok Wak , katanya, mereka ke Kampung Sageng. Lubok Wak dihuni oleh orang Iban, dan Kampung Sageng banyak adik-kakak orang Melayu di sana. Hampir kesemua tempat yang disebutnya tadi sekarang ini, setelah 50 tahun , dapat didatangi melalui jalan.

“ Meludam ? Sebuyau?”

“ Sudah ada jalan ke sana sekarang. Kami pernah menambat perahu di laut Meludam dan merebus udang payak di situ yang dibeli daripada nelayan ….segalanya tinggal kenangan. Segala-galanya tinggal kenangan. Tiada lagi perahu layar , tiada lagi dayung, tiada lagi pengayuh…”

“ Tiada lagi ?”

“ Tiada lagi. Tiada lagi yang melayari lautan di antara Muara Rajang dan Muara Sadong, atau Sungai Sarawak”

“Perubahan . Tinggal nostalgia sahaja”.

“ Yang ada hanya regata”.

Mereka ketawa.
Nama benar: Zaini bin Oje

Tiada ulasan:

Catat Ulasan