25.1.09

KERTAS KERJA KONGRES ISLAM MALAYSIA TIMUR 1968


Sempena Kongres Islam Sarawak 2009 yang akan berlangsung pada 10 hingga 12 Februari di Hotel Grand Margherita di Kuching (ulunya Holiday Inn) kita siarkan di sini kertas-kertas kerja yang dibentangkan dalam Kongres Islam Malaysia Timur di Kuching pada 3 hingga 5 Mei 1968.









Kertas Kerja 1


ZAKAT DAN FITRAH DAN KEGUNAANNYA

Oleh

Al-Ustaz Haji Abdul Kadir Hassan (S.K.N.)



Perintah wajib mengeluarkan Zakat itu terdapat pada 82 tempat dalam Al-Quran yang sentiasa dihubungkan dengan perintah sembahyang. Tiada didapati satu ayat yang menyeru kepada sembahyang, melainkan disertakan dengan perintah berzakat. Zakat merupakan ibadah wajib yang tidak dapat diabaikan.


Orang yang engkar, tidak mahu berzakat, oleh Saaidina Abu Bakar (r.a.h.) diperintahkan supaya mereka itu diperangkan; suatu tindakan yang keras, tetapi tepat dan berkesan.


Tujuan yang besar dan maksud utama zakat ialah untuk memperbaiki keadaan masyarakat Islam di tanah air kita ini yang semakin sehari ternyata semakin rosak dan merosot. Aliran-aliran barat semakin sehari semakin menjalar ke dalam masyarakat bangsa kita yang menghayalkan kebanyakan daripada pemuda pemudi kita. Tambah banyak aliran-aliran dan perubahan-perubahan itu bertambah jauh mereka daripada Agamanya. Ada yang langsung tiada tahu dengan Agamanya, tidak kenal siapa Tuhannya.


Memang setiap orang bersetuju mengatakan bahawa penyakit-penyakit tersebut adalah berpunca daripada tidak adanya pendidikan yang sempurna, atau terlalu kurang pendidikan di kalangan anak bangsa kita.


Tegasnya masyarakat Islam di tanah air kita pada hari ini sangat memerlukan guru-guru dan pemimpin-pemimpin Agama dan sekolah-sekolah agama. Ke arah cita-cita inilah Majlis Islam menitikberat usahanya mengumpulkan zakat itu, dan seterusnya juga untuk pembinaan dan kebaikan masyarakat bangsa kita.


Barisan Besar Tujuan Zakat dikumpulkan ialah:-



1. Untuk memajukan pelajaran Agama.


2. Untuk menghantarkan penuntut-penuntut Sarawak melanjutkan pelajarannya keluar negeri.


3. Untuk mendiri bangunan-bangunan sekolah Agama.


4. Untuk pertolongan kepada fakir miskin yang melarat.


5. Untuk lain-lain perkara kebajikan.


6. Untuk menanam modal di dalam apa-apa jua perusahaan yang difikir boleh menghasilkan.



Kejayaan pemungutan zakat dan fitrah seluruhnya amatlah penting dan mustahak untuk melaksanakan cita-cita kearah membina dan membangun masyarakat Islam di negeri kita ini.


Dari itu saya kemukakan beberapa syor atau cadangkan kepada Kongress seperti dibawah ini:-


1. Residen-Residen, Pegawai-Pegawai Dacrah dan Pegawai-Pegawai Tadbiran dipinta memberi kerjasama dalam menjayakan perlaksanaan pemungutan zakat di negeri ini.


2. Dalam tiap-tiap kampong hendaklah ditubuh sebuah badan jawatankuasa yang bertanggungjawab untuk mengawasi pemungutan zakat yang dijalankan oleh amilnya.


3. Mengenai zakat harta, perniagaan dan perusahaan, hendaklah ditubuh sebuah badan yang khas untuk memikir cara-cara melaksanakannya.



Di antara cara-caranya, saya cadangkan iaitu Majlis Islam hendaklah membuat borang resmi yang lengkap yang akan dihantarkan kepada orang-orang Islam yang layak berzakat untuk diisi dan dikembalikan kepada Majlis. Dari borang-borang itu nanti dapat diketahui kadar hartanya yang akan dikeluarkan zakatnya.






Kertas Kerja 2

ISLAM DAN EKONOMI

Oleh

Encik Bujang Mohamad Nor B.A. (Hon.)




Sikap Terhadap Dunia


Islam adalah disebutkan dalam Al-Quran sebagai "Al-Din", iaitu cara hidup, dan bukanlah kepercayaan saja. Ajaran Islam bukanlah memperlengkapkan penganut-penganutnya untuk menempohkan soal akhirat saja, seperti telah menjadi salah faham dikalangan masyarakat kita tetapi juga semua masaalah hidup ini dijadikan Allah sebagai "Khalifah" didunia mi.


Terbit daripada kuasa tinggi manusia ini adalah “suatu kewajipan kita untuk menggunakan segala anggota dan kuasa kita untuk menjadikan benda-benda didalam dunia ini menyenangi dan memperbaiki kehidupan manusia itu sendiri.

Menggunakan Sepenuhnya Harta Dunia


Disamping menggalakkan manusia memperluaskan ilmu sains, Al-Quran juga ada menyuruh umat Islam berusaha untuk memperkuatkan ekonomi mereka sendiri. Misalnya, Al-Quran berkata —
"Carilah Kamu keuntongan daripada pemberian Allah: Dan ingatlah Kamu kepada Allah dan Kama akan berjaya". (S62:10) Berulang-ulang juga Al-Quran ada menyuruh manusia menggunakan sepenuh-penuhnya pemberian Allah supaya dapat menyenangkan hidup mereka sendiri, dalam Hadisnya Nabi kita pernah bersabda: "Berusahalah kamu untuk dunia seolah-oleh kamu akan hidup semala-lamanya; dan berusahalah kamu untuk akhirat seolah-oleh kamu akan mati esuk hari".

"Bagi orang Islam, mencari kekayaan dengan secara lurus adalah kepentingan nombor dua sesudah bersembahyang”.

Kita orang Islam dalam negeri ini masih lagi terikat kepada kerja-kerja bercucuk tanam. Mana-mana perdagangan yang ada dijalankan oleh masyarakat kita adalah sangat kecil. Sepatutnyalah kita memperluaskan kegiatan ekonomi kita ke bidang perdagangan dan perusahaan.

Modal

Soal modal memanglah menjadi masaalah mengembang ekonomi mana-manapun. Tetapi kekurangan modal hendaklah tidak dijadikan alasan mematikan usaha kita.

Satu cara untuk mengatasi massalah ini ialah dengan menubuh kesatuan yang boleh menggumpulkan wang untuk modal dan menyatukan urusan, seperti menerusi kesatuan, perkongsian dan syarikat. Perkongsian begini telah ada tumbuh pada masa awal masyarakat Islam dan adalah digalakkan.

Kita juga perlu menubuh bank dan mengguna kemudahan-kemudahan insuran. Oleh sebab banyak ada kemungkinan jadi rugi (risks) yang dihadapi dalam perdagangan, maka memanglah menjadi kebiasaan pada hari ini bagi orang berdagang mengambil insuran untuk barang-barang dagangan mereka. Ada juga yang mengambil insuran nyawa demi kepentingan keluarga mereka.

Sementara itu hendaklah diadakan bentuk pelajaran yang boleh mempersiapkan orang Islam supaya mereka dapat mengaku apa-apa kerja yang bertujuan mencari keuntongan.


Beza Antara "Riba" Dan "Bai’un"


Ayat 275 dalam Surah Al-Baqarah ada berkata —"Allah telah membenarkan perdagangan tapi mengharamkan bunga wang". Untuk membedzakan antara dua kata-kata ini (riba dan bai’un) tidaklah kita dapat hanya mengambil keputusan daripada berbezaan nama interest atau dividend saja. Kita perlu menyelideki apakah kegiatan-kegiatan yang menghasilkan wang yang diterima. Kita mesti memaham apakah cara-cara menjalankan bank pada hari ini. Bagaimanakah bank-bank mendapat hasil daripada wang yang dipinjam? Apakah terjadi kepada wang-wang yang dipinjam itu?

Penutup

Dalam semuanya kita sudah melihat bahawa dalam menyimbangkan ekonomi masyarakat kita, perlulah kita sekarang:-

(i) memikirkan apakah langkah harus kita ambil untuk mensesuaikan cara berifikir di kalangan masyarakat kita kepada soal ekonomi zaman baru ini?

(ii) mencari jalan apa yang sebaik-baiknya untuk kita menggalakan orang-orang kita mengambil bahagian di dalam perdagangan dan perusahaan?

(iii) apakah jalan hendak menggalak orang Islam menggumpul wang supaya dapat jadi modal?

(iv) apakah jalan yang dapat menjamin segala penanaman modal oleh orang-orang Islam yang boleh membawa keuntongan sebesar-besarnya?

(v) dapatkah kita faedah besar daripada perjalanan bank dalam negeri kita ini?


(vi) dapatkah kita mengambil faedah daripada kemudahan-kemudahan yang terbuka dalam perjalan insuran dalam negeri kita ini?




Kertas Kerja 3.

PELAJARAN DI KALANGAN ORANG-ORANG ISLAM
Oleh
Encik Jemuri Serjan LLB.,
Barrister and Solicitor of Supreme Court (NZ)

Masaalah pelajaran dan pendidikan anak-anak kita kaum Islam di negeri ini memang mengambil tempat yang sangat penting dalam kehidupan kita sebagai warganegara sebuah negeri yang merdeka dan diwaktu negeri kita menempuhi satu zaman perkembangan. Tidak ada satu bangsa yang terkebelakang menjadi maju, melainkan sesudahnya mengadakan dan memperbaiki didikan anak-anak dan pemuda-pemuda mereka.


Sepanyol dan bangsa Arab yang pernah mengecap kemegahan dan kebesaran pada abad-abad yang lampau sekarang telah tinggal kebelakang akibat kemerosotan dalam hal pelajaran dan pendidikan.

Sama ada kita suka atau tidak, memang sudah nyata yang pelajaran anak-anak Melayu atau orang-orang Islam dari segala lapisan dan tingkat pelajaran, mundur dan merosot. Di zaman pemerintahan Penjajahan dulu cuma 6 orang sahaja orang-orang kita telah dihantar ke luar negeri dan balik dengan ijazah-ijazah (degree) mereka masing-masing.

Sekarang pun memang telah berada di luar negeri di antara 20 — 25 orang pemuda dan pemudi kita untuk menuntut di Universiti. Ini pun belum memuaskan hati. Kita masih jauh ketinggalan di belakang. Apakah benar orang-orang Islam di negeri ini kurang otaknya? Miskin cita-cita tinggi? Miskin wang? Tidak mempunyai satu tujuan hidup yang tertentu? Atau memang benarkah yang kita orang-orang Islam cuma mementing soal bekalan untuk akhirat sahaja?

Dari apa yang kita sendiri telah lihat disekeliling masyarakat kita, kita mendapat kesimpulan bahawa sesungguhnya masyarakat kitalah yang mendurongkan anak-anak kita menjadi manusia yang tidak mempunyai sifat-sifat dan bibit kesanggupan dan ketabahan hati, asyik dan khayal dengan penghiburan, meniru lagak-lagak bangsa lain, indah tak indah, dan tidak bertanggungjawab pada diri sendiri. Tambahan pula dipupuk semangat kurang tabah, semangat berharapkan pertolongan orang lain, semangat sukakan bersuka ria dan membuang masa dan membazir dalam soal kewangan. Ini adalah unsur-unsur yang meresap kedalam hati jasmani anak-anak kita sejak kecil-keccil lagi dan merosakkan anak-anak kita diwaktu remaja mereka. Penuntut kita dari itu tidak mengerti mengapa mereka mesti bertungkus lumus memeras otak mereka untuk menuntut ilmu. Tidak terlintas dihati mereka, mereka hendaklah melengkapi diri sendiri dengan segala apa jua ilmu pengetahuan untuk pemimpin bangsa dan negeri mereka.

"Peliharalah diri mu dan ahli mu dari api neraka", demikian perintah Tuhan dalam Quran, surat At-Tahrim, ayat 6, dan kepada kita maksudnya ialah harus kita berikan kepada anak dan isteri kita didikan yang akan memelihara mereka dari kesesatan dan memberi keselamatan kepada mereka didunia dan akhirat.


Kita dapat ambil beberapa kesimpulan bahawa kemunduran dan kemerosotan pelajaran orang-orang Islam di negeri ini adalah disebabkan:

(a) Kekurangan dan ketiadaannya bimbingan dan didikan rohani yang sempurna;


(b) Pendirian ibubapa yang tidak sangat menghiraukan kemajuan anak-anak mereka dalam pelajaran di sekolah;

(c) Penuntut-penuntut itu sendiri tidak banyak mempunyai semangat tanding menandingi kemajuan bangsa-bangsa lain;

(d) Penuntut-penuntut itu sendiri tidak mempunyai cita-cita tinggi (ideals);

(e) Penuntut-penuntut itu kurang bertabah hati dalam menghadapi berbagai-bagai kesulitan dan kepayahan dalam pelajaran mcrcka, lekas keciwa dan lekas lemah semangat; dan

(f) Keadaan masyarakat di Kampong-kampong, yang ada sekarang ini tidak menggalakkan anak-anak muda kita mengambil berat kepada pelajarannya.


Sekarang ini perlu sekali masyarakat kita menimbang dan mengkaji dengan sehalus-halusnya bagaimana besarnya pengaruh masyarakat itu terhadap jiwa dan peribadi anak-anak kita. Kalau anak-anak tidak dapat dididek di rumah ada lebih baik mereka dipisahkan sahaja daripada ibubapa dan masyarakat selama mereka lagi menuntut dan dihantarkan ke sekolah-sekolah berasrama.

Sewajarnya juga diadakan satu pertubuhan yang bertujuan untuk mengurus hal ikhwal pelajaran anak-anak kita dalam bidang pclajaran. Badan ini boleh menyiasat kedudukan pelajaran anak-anak kita di sekolah dan menimbangkan bagaimana cara dan apa corak bantuan yang mesti diberi sama ada bantuan wang, atau mengadakan kursus-kursus untuk menaikkan semangat dan menolong mereka dalam mana-mana mata pelajaran yang sukar. Badan-badan ini mestilah bekerjasama dengan ibubapa dan para terpelajar bangsa kita.

Bukankah itu betul bahawa Tuhan akan menolong orang-orang yang menolong mereka sendiri?





Kertas Kerja 4

ADAT KEMATIAN ORANG MELAYU DAN KESANNYA TERHADAP EKONOMI
Oleh
Abang Yusuf Abang Haji Puteh, B.A. (Hon.)


Tujuan utama kertas kerja ini ialah untuk mengkaji faham-faham dan resam kaum Melayu Sarawak khasnya di Kuching dalam hal kematian dengan mengambil berat akibat-akibat ke atas ekonomi dan sosial orang Melayu berbangkit dari faham-faham dan adat resam itu. Khususnya kertas ini memandang soal ini dari segi ekonomi dan sosial dan bermaksud mengkaji:-


a. Keadaan yang ada sekarang. Apakah keburukan-keburukan yang ada;

b. sebab-sebab keburukan itu;

c. cara-cara memperbaiki atau mengubat penyakit masyarakat orang Mclayu dalam lapangan itu.

2. Orang Melayu Sarawak memang kayaraya dengan adat dan kebudayaan. Ada adat dan budaya ini yang benar-benar menurut ajaran Ugama Islam, dan ada juga yang hanya berkaitan dengan Ugama Islam, dan ada pula yang langsung tidak ada hubungannya dengan Ugama Islam, yakni semata-mata mengikut hukum atau aturan adat atau faham-faham orang tua yang telah dikerjakan berzaman-zaman. Mengikut tafsir pakar-pakar dalam hal sosial, kebudayaan itu adalah cara hidup. Tapi kebudayaan itu bukan "static", ia itu tidak bertukar, bahkan kebudayaan itu adalah satu system yang hidup, yang berkembang untuk kepentingan dan kemajuan kaum itu. Harus diingatkan perkataan "untuk kepentingan dan kemajuan". Kebudayaan orang Melayu Sarawak banyak asal dan puncanya. Memang sesungguhnya Ugama Islam banyak dan kuat pengaruhnya. Tapi sebelum Ugama Islam di sini sudah ada pengaruh dari kepercayaan yang lain yang sudah bersauh-teguh dalam kaum orang Melayu, umpamanya Ugama Budha, Hindu, dan juga fahaman yang kuno. Pengajaran, pengaruh dan faham-faham itu sangat berkesan hingga menyubur diri dalam kehidupan orang Melayu Islam, sehingga susah bagi kaum Melayu yang kurang pelajaran dalam Ugama Islam memisahkan "aspek-aspek hidup mereka yang berkaitan dengan Ugama Islam dari yang budaya scmata-mata. Hal ini sudah terang sekali dalam adat-adat kematian. Jadi perlulah dipisahkan aspek ugama dari budaya dalam mengkajikan maodhok di atas.

3. a. Keadaan sekarang dan keburukan-keburukannya

Yang menjadi soal besar ialah kebanyakan perkara yang dikerjakan dan berkaitan dengan hal kematian adalah semata-mata adat resam saja dan tidak kena mengena dengan ugama Islam, bahkan ada pula "mungkin" bertentangan dengannya. Satu punca teguran besar ialah ongkos untuk "menyempurnakan" kematian. Barang-barang yang wajib dari segi ugama Islam berkenaan dengan mati adalah tegas dan senang saja — iaitu mayat itu disuci, dikafan dan disembahyang sebelum dikebumikan. Tapi adat dan budaya menghendaki bermacam-macam perkara yang lain. Yang diperlukan dan kebanyakannya dimestikan ialah sembahyang "fadhiah", "meruang" (batu Istinja) dan "kadha" (kala) puasa, "kadha" (kala) sembahyang dan "kadha" (kala) "keparat" (ratep) dengan cara yang tiada dikehendaki Agama Islam yang semuanya berkehendakkan upah. Tiap-tiap pagi selepas subuh, dibaca doa arwah, diikuti dengan sedikit jamuan makan. Pada hari kematian, adalah diperlukan mengadakan jamuan makan nasi di rumah si mati itu sebelum mayat itu dikebumikan. Jamuan ini adalah besar-besar dan memakan ongkos yang besar, umpamanya satu pikul daging dan seterusnya. Pada tiap-tiap malam hingga hari ketujuh diadakan pula jamuan minum, dan pada hari ketiga, biasanya diadakan jamuan nasi secara kecil. Tapi pada hari ketujuh kenduri itu adalah dibesar-besarkan tak salah macam kahwin, lengkap dengan surat jemputan. Mengikut penerangan, ongkos belanja dari hari pertama hingga hari ketujuh adalah tidak kurang dari $1,000.00 bagi jamuan yang sederhana dan $1,500.00 adalah dianggapkan sebagai kebiasaan; ada juga meningkat sampai $3,000.00. Pada hari ketujuh juga, beberapa "harta" atau perkakas hidup si mati diberi kepada pak lebai yang memberi mandi dan "menyandang" mayat itu. Perkakas ini genap dengan tilam, bantal, baju kain dan seterusnya. Kesemuanya ini adalah adat budaya belaka yang dipesakai dari kepercayaan atau Ugama lain saperti Budha dan Hindu. Pengajaran Nabi Muhamad S.A.W. cukup terang dalam hal ini:-

Mengikut hadith:-
Maksudnya:

"Buatlah (Sediakanlah) makanan untuk keluarga Ja’far kerana sesungguhnya telah datanglah sesuatu yang membuat mereka susah (mati). "


Jadi teranglah adat budaya saperti yang disebut di atas tadi bertentangan dengan ajaran Nabi kita. Apa yang dilakukan adalah saperti kata-kata orang tua:- "Sudah jatuh ditimpa tangga". Pernah didengar orang berkata, "dua kali mati" — hilang nyawa terbang harta.

Keadaan yang diterangkan di atas adalah berlaku di Kuching dan dikebanyakan tempat di Sarawak, sungguhpun tidak menggila-gila macam di Kuching. Tapi ada tempat yang mulai sembuh dari penyakit ini, yang penting sekali ialah Kota Sibu dalam Bahagian Ketiga, yang beransur-ansur mengikis adat-adat yang tidak bermakna itu.

b. Sebab-sebab keburukkan itu

Adalah dipercayai bahawa segolongan besar kaum Melayu sedar akan akibat-akibat adat budaya atas ekonomi dan sosial mereka, dan banyak juga yang mulai menyoal akan adat-adat itu. Mungkin ada pihak yang mengutuknya. Tapi menjadi hairan pula pérkara-perkara yang diterangkan di atas tadi masih juga berlaku. Kalau diseledeki dalam hal ini, maka timbullah beberapa faktor-faktor atau anasir-anasir yang bertanggungjawab sebagai sebab-sebabnya.

Ada enam sebab-sebab yang agak jelas.

Pertama:

Seperti telah disebut di atas tadi, pengaruh adat budaya yang berasal dari kepercayaan asing adalah kuat dalam masyarakat Mclayu, sehingga pengaruh itu membutanya. Mungkin keadaan ini timbul dari cara ajaran pak lebai yang sendirinya kurang mahir dalam hal ugama.

Kedua:

Ada hubungan yang lansung dengan yang pertama tadi. Oleh sebab yang demikian, mungkin timbul perasaan salah pengertian, yakni adat budaya yang tidak mengikut ajaran Nabi kita S.A.W. dibesar-besarkan sehingga ianya jadi perkara yang dimestikan untuk menyempurnakan hal mati. Ini adalah karut belaka.

Ketiga:

Falsafah orang Melayu seluruhnya berkenaan dengan adat budaya adalah tidak lagi sesuai dcngan zaman ini. Ada yang berpegang teguh dan berazimatkan bidalan Melayu yang berbunyi "BIAR MATI ANAK JANGAN MATI ADAT". Jadi nampak dengan jelasnya pangaruh budaya dalam kehidupan orang Melayu. Perasaan itu mungkin berakar nadi disanubari dan peribadi orang Melayu, terutama sekali di kaum tua.

Keempat:

Ialah perasaan iaitu perasaan kepada simati. Banyak yang tak sampai hati hendak membuang adat resam.

Kelima:

Segan atau takut jadi buah tutor orangramai kalau tidak mengikut kebudayaan.

Keenam:

Yang lebih terpengaruh ialah orang perempuan. Kebanyakannya merekalah yang berkuat-kuat supaya adat resam itu dilengkapi dengan tidak mengira akibat-akibatnya asalkan saja disempurnakan.

c. Cara-cara memperbaiki


Yang perlu sekali ialah falsafah hidup orang Melayu harus mengikut aliran zaman dan spatutnya tidak membabi buta dengan ajaran-ajaran yang karut. Umpamanya, patutkah orang Melayu semata-mata berkota dengan bidalan "Biar mati anak jangan mati adat"? Adat budaya ada baik buruknya, seperti hal yang lain-lain juga. Tapi patutkah yang buruk itu dimegah-megahkan kalau akibatnya ke atas kehidupan orang Melayu juga memburukkan? Adat budaya yang tidak kena mengena dengan Ugama Islam bahkan bertentangan dengan ajaran Nabi Mohamad S.A.W. dalam soal kematian harus dikuburkan dan di tegah. Sebagai cadangan yang tegas, adalah Kongress dinasihatkan supaya meminta pihak yang berkenaan dan berkuasa, khususnya Majlis Islam Sarawak, untuk mengkaji dengan segera hal ini dengan tujuan memberi fetua supaya menghapuskan adat-adat yang karut ini, dan meletakkan aturan-aturan yang berpatutan bagi panduan masyarakat Melayu. Perkara ini tidak dapat dilalaikan lagi. Adat-adat kematian itu sudah pun karut, ianya juga membazir. Membazir adalah ditegah oleh Ugama Islam dan Allah telah berfirman:

Kira artinya:
"Janganlah engkau terlalu boros. Sesungguhnya boros itu adalah saudara syaitan, dan syaitan terhadap tuhannyu adalah kufur (engkar) " (Bani Israel: 26 & 27).

Diteliti dari segi ini pula, semakin perlulah adat-adat itu dihapuskan sama sekali. Demi untuk kepentingan masyarakat Melayu bidalan tua itu harus ditukar corak jadi: "Biar mati adat jangan runtuh ekonomi"

4. Sebahagian besar masyarakat Melayu masih lena dalam buayan fantasi dan di bawa tenggelam oleh faham-faham dan adat-adat yang kuno dan merosakkan. Banyak yang berfikir bahawa dunia ini ialah dunia si kafir dan dunia akhiratlah tempat orang Islam,dengan tidak berikhtiar untuk kesenangan hidup di dunia ini. Ugama Islam tidak melarang penganut-penganutnya jadi kaya raya atau senang lenang di dunia ini, bahkan ini adalah digalakkan, dan Nabi Kita telah sendirinya memberi tauladan. Beliau penuh dengan usaha dan tidak berserah diri kepada Allah semata-mata.

Firman Allah:
1. Kira ertinya:
"Dialah tuhan yang telah menjadikan untuk kamu bumi ini mudah kamu menjalaninya. Berjalanlah kamu kesegenap pelusuknya untuk mencari rezeki. Makanlah kamu daripada rezekinya. Hendaklah kamu ingat. Nanti kepadanya kamu kembali". (Al-Mulk:15).

2. Kira ertinya:
“Maka apabila selesai Sembahyang Jummat, pergilah kamu kemana-mana saja pelusuk bumi dan hendaklah kamu bercita-cita (dengan berusaha)untuk mendapat kelebihan `daripada Allah dan ingatlah kepada Allah sebanyak-banyaknya. Mudah-mudahan kamu beroleh kemenangan. " (Al—Jumuah:10).

5. Mustahak sekali kaum Melayu bertukar sikap dan berazam maju kehadapan dalam segala lapangan. Faham-faham yang menjadi halangan patut dikaji dan ditukar asal saja tidak melanggar ajaran Ugama Islam. Banyak masa dan wang ringgit dibuang dengan tidak ada ertinya, bahkan membawa bala kepada masyarakat Melayu. Masa dan wang ringgit itu harus digunakan untuk memperbaiki masyarakat.


Kertas Kerja 5

KEDUKAN ORANG ISLAM DI MALAYSIA TIMUR
Oleh
Y.B. Encik Abdul Taib Mahmud

Memang kita akui bahawa terdapat banyak kemunduran disisi masyarakat kita. Yang nampak paling terang sekali ialah kemunduran dalam lapangan ekonomi dan pelajaran.

Dibawah jajahan kuasa Barat, pandangan orang-orang Islam sendiri telahpun mula berpaling dari soal ugama, kerana desakan soal hidup dan kerana kesan sekeliling mereka. Pelajaran ugama makin sehari makin jauh tertolak ketepi, sehingga pada masa baru-baru ini ada pula gulungan muda dalam masyarakat kita yang menganggapkan bahawa kalaulah orang-orang kita hendak maju, maka ajaran Islam patutlah disingkirkan. Dalam kalangan itu ada lagi yang berfikir bahawa Islamlah yang menyebabkan kemunduran.


Dari itu memanglah menjadi kewajipan kita untuk meluaskan pengertian tentang apa sebenarnya ajaran Islam. Kemungkinan perselisihan faham diantara orang-orang Islam yang berpelajaran Inggeris dengan orang-orang Islam yang berpelajaran Melayu, ataupun yang berpelajaran ugama sahaja mungkin akan timbul jika tidak diawasi.

Islam Dalam Malaysia

Dalam Perlembagaan Malaysia Islam adalah Ugama Resmi, dan ugama-ugama lain adalah bebas diamalkan.

Sejarah awal negeri-negeri Islam telah menunjukkan bahawa memanglah sudah menjadi amalan kita menghormati kepercayaan orang-orang lain. Penulis-penulis


Barat, saperti Thomas Arnold (penuntut pelajaran Islam yang berugama Kristian), Fisher dan A.G. Wells (ahli—ahli sejarah) dan Bertrand Russel (ahli-ahli falsafah yang terkenal di zaman ini) telah mengakui bahawa Kerajaan Islam dari awalnya memang telah mengamalkan "tolerance" (sikap membiar ugama lain diamalkan). Didalam Malaysia ini tidak seorangpun yang telah menafikan bahawa ugama-ugama selain daripada ugama Islam telah dibenarkan diamalkan dengan sepenuh-penuhnya. Bukan sahaja itu; Kerajaan Pusat kita telah memberi bantuan kepada ugama-ugama lain untuk membina tempat-tempat sembahyang mereka.


Tetapi, tidaklah boleh dilupakan bahawa sementara kita membiar ugama-ugama lain kembang dalam negeri kita ini, kita tidak boleh lengah dan dari memelihara perkembangan ugama kita sendiri.

Islam Di Malaysia Timor

Perkara yang merunsing kita di Malaysia Timor ini ialah: sementara ugama Islam seluruh Malaysia diakui sebagai ugama rasmi, negeri-negeri Sarawak dan Sabah, tidak mempunyai ugama rasmi. Dari itu timbullah pertanyaan; bgaimanakah kita dapat kedudukan setaraf dengan orang-orang Islam dalam sebelas buah negeri lain dalam Malaysia ini?

Mengikut sejarah di Sarawak, ugama Islam telah dikenal oleh Kerajaan Brooke. Masjid negeri kita dahulu telah mendapat bantuan dari Kerajaan Brooke. Kemudian pada masa koloni, sebuah Majlis Islam telah ditubuhkan dengan tujuan hendak memelihara kedudukan orang Islam dan menjalankan adat istiadat orang-orang Melayu dan hukuman Islam.

Di Sabah, kedudukan orang Islam adalah berlainan dari orang Islam di Sarawak kerana negeri Sabah dahulunya bukanlah di bawah takluk sebuah Kerajaan politik saperti di Sarawak. Badan yang menjalankan pemerintah negeri Sabah dahulu sebenarnya sebuah Company British yang tidak mengindahkan soal ugama negeri itu. Tidak ada Majlis Islam di Sabah. Adakah sebuah Badan Islam dapat ditubuhkan di Sabah (saperti Majlis Islam di Sarawak) yang boléh memberi pimpinan kepada orang-orang Islam dalam soal ugama di negeri itu?

ipada Badan resmi yang ditubuhkan oleh Kerajaan, ada pula berbilang kesatuan, yang cuba hendak memperjuangkan kedudukan orang Islam dalam kedua-dua buah negeri Malaysia Timur ini. Apakah langkah yang dapat diambil untuk menolong kesatuan-kesatuan itu? Bagaimanakah pertubuhan-pertubuhan dapat diselenggarakan untuk menyusunkan langkah bersama?


Perhubungan Di Antara Negeri-Negeri Mengenai Soal Islam



Di Malaysia Barat, perkara-perkara berkenaan dengan ugama Islam adalah di bawah jagaan Raja-Raja Melayu dan dalam negeri yang tidak bersultan di bawah jagaan D.Y.M.M. Sri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Kedudukan di Malaysia Timur ini tidak cukup terang. Mengikut bahagian kuasa dalam Perlembagaan negeri Sarawak dan Sabah mempunyai kuasa dalam perkara-perkara ugama. Tetapi dasar Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak setakat ini, tidak mengakui apa-apa agama pun bagi negeri-negeri itu. Jadi suatu kedudukan yang terang patutlah dicarikan bagi orang-orang Islam di Malaysia Timur ini. Patutkan kita mengikut cara kedudukan ugama di Pulau Pinang dan di Melaka?



Apakah sikap Negeri Sarawak dan Sabah jikalau perkara berkenaan ugama di bawa kepada Majlis Alim Ulama dan kepada Majlis Raja-Raja. Patutlah tidak kita minta sama kedudukan dengan negeri-negeri yang sebelas buah di Malaysia Barat?



Jikalau kedudukan orang-orang Islam di Malaysia Timur ini akan dipeliharakan mengikut cita-cita kita yang berbangga kerana masuk dalam sebuah negara Islam, perlulah langkah-langkah baharu difikirkan pada masa sekarang ini jua dan jalan-jalan hendak dicari untuk mengambil tindakan memperbaiki kedudukan itu.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan