15.10.08

MARI KITA MENGGUBAH PANTUN




bukan mukun sebarang mukun
mukun berisi padi mahsuri
orang berpantun kita berpantun
biar budaya subur lestari

Memang pantun itu lumrah dalam masyarakat kita, dan pantun wujud dan dilafazkan di dalam hampir semua jenis majlis, hanya mungkin tidak dalam majlis kematian dan pengkebumian, tetapi pernah digunakan dalam pelbagai majlis lain.

turun ke huma membawa tugal
menceduk air daqlam telaga
kalau kail panjang sejengkal
jangan lautan hendak diguna

Demikian dialog seorang pesauk kepada hero dalam sebuah drama bangsawan mungkin, maka pantun digunakan untuk menghina, mencabar dan meremehkan orang.

nyiur gading puncak mahligai
sayang ketupat berisi inti
hancur daging tulang berkecai
belum dapat belum berhenti

Agaknya begitulah hero menjawab dan di sini pantun digunakan untuk berhujah dan membalas penghinaan orang terhadap diri kita.

anak seluang di celah batu
anak sembilang di dalam bagan
hendak mati di hujung kuku
hendak berkubur di tapak tangan

Demikian kenyataan heroin kepada hero di dalam bangsawan berkenaan, maka pantun digunakan menyampaikan hasrat mendalam ingin hidup bersama malah tidak mahu berpisah walaupun sampai mati.

Kini pantun sudah sampai ke parlimen dan ke majlis beradat di istana, melengkapkan tempatnya dari gubuk buruk di tepi sungai atau di bawah rimbunan buluh perindu di pinggir sawah tempat uda dan dara mengikat janji sehidup semati hingga ke majlis paling tinggi di dalam tamadun.

Dan kini pantun sudah ada tempat di ruang internet, termasuk laman yang diurus kendalikan oleh beberapa universiti terkenal dengan naungan profesor dan sarjana terkenal.

Ada satu laman intenet yang juga menghidangkan pantun sebagai bahan bacaan dan kajian. Di situ kita boleh membaca pantun yang sudah disediakan, atau menjawab pantun yang dijual secara interaktif, atau membaca rencana, laporan dan makalah termasuk kertas kerja yang pernah dibentangkan dalam persidangan-persidangan peringkat negeri dan kebangsaan.

Laman itu ialah http://pantunonline.com/. Sila kunjungi laman ini dan bermesralah dengan pantun-pantun yang disediakan atau menjawab pantun-pantun yang dijual.


Selamat berkunjung.


Saiee Driss
(Pak Asdy)


2 ulasan:

  1. Assalamualaikum Pak Asdy,

    boleh sik posting akan datang ditulis tips atau do's n dont's dalam pengarangan pantun.

    Ada sesetengah pengkarya menggunakan perkataan2 yang sangat mudah dan ada juga yang sgt tinggi maksudnya.

    Belayar feri ke muara matu,
    sampai di seberang senang hati,
    pantun ini permulaan ku,
    untuk dibimbing karya yang tinggi.

    BalasPadam
  2. Bukan susah atau senanag bahasanya tetapi indah atau tidak ekspresinya atau ungkapannya.

    Baca rencaha-rencana saya di http://pantunonline.com akan dapat sedikit sebanyak penjelasan.

    BalasPadam