
Sajak karya
SAIEE DRISS
aduh terlalu lemah dan daifnya kita
sekadar berani berteriak
marah dan membentak-bentak
lagak ayam jagoan yang nyaring kokoknya
ke segenap rantau m engisytiharkan
ledaulatan dan kekuasaan
dari dalam rebannya
aduh terlalu kerdilnya kita
boleh diolak alek
oleh bangsa pengemis dan perampas
yang kuasa pengaruhnya sejagat
aduh terlalu aibnya kita
mengaku pewaris tamadun istimewa
dilengkapkan dengan kitak dan panduan
tapi lebih sesat daripada yang sedia sesat
aduh baculnya kita
yang mengaku gah dan berisi dada
dilengkapi panduan dan tunjuk arah
tidak berani membela saudara
yang dipijak siksa di depan mata
aduh bengangnya
walau mengaku peneroka ilmu dan tamadun
tapi sekadar peminjam dan peminta
berbangga sebagai pengguna
tidak layak berbangga sebagai pencipta
marilah kita sekali lagi
ulangkan bacaan kita
dengan hati dan fikiran
dengan keinsafan dan kesedaran
dengan tekad dan azam
bercerminkan rasionaliti dan realiti
berhablorkan akal dan budi
berkantakan ilmu dan kebijaksanaan
yang tidak dicemari warna sentimen
yang tidak dikabuskan tabir mimpi
dengan khusyuk dalam doa kita
dengan ikhlas dalam permintaan kita
dengan jujur dalam pengakuan kita
kerana tidak mungkin kita dibiarkan
kalau kita di jalan benar
mari kita ulang bacaan
risalah pedoman dan panduan
dengan hati terbuka
dan dada lapang
masakan Tuhan tidak mengerti
aduh sungguh tidak wajar
kita yang hebat dan gagah
dibekalkan dengan kalimah
terbelenggu hati dan lidah
tidak berani membisikkan hakikat
tidak berani menatap kebenaran
kita sekadar marah-marah
bagai anak-anak mengharap perhatian
bagai pengemis mengharap sedekah
aduh kenapa kita begini.
Kuala Lumpur
31 Julai 2006
Tiada ulasan:
Catat Ulasan