13.10.08

Suasana Baru!


Assalamualaikum w.b.t dan Salam Perkenalan.

Belum terlambat lagi, saya mengucapkan Selamat Hari Aidil Fitri Tahun 2008/1429 H. Raya tahun ini masa dan waktu saya bersama keluarga yang dikasihi hanya pada 1 dan 2 Syawal sahaja ini disebabkan beberapa aktiviti individu dan juga kerja yang harus dibuat. Dan dikesempatan ini saya menggunakan blog ini untuk memperkenalkan diri kepada kakitangan-kakitangan agar dapat mengenali diri ini lebih dekat memandangkan ketika saya melapor diri, ada yang masih bercuti raya.

Pada tarikh 6hb Oktober 2008 saya melapor diri untuk bertugas ditempat baru iaitu di Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak (BPPMIS) sebagai Penolong Pentadbir di Unit ICT bersama Eksekutifnya Sdr Shahriman Shukarmin.

Sejak dari awal tahun 2006 saya bertugas sebagai Pembantu Tadbir (Pekerja Khidmat Singkat) di SMK Bandar Samariang hingga pertengahan tahun 2007. Pertengahan tahun 2007 pula saya bertugas di Institut Aminuddin Baki Cawangan Sarawak (IAB) dengan jawatan yang sama, cuma bidang dan tugas banyak kepada menjadi Urusetia kursus Guru-Guru Besar dan Pengetua. Tugasan-tugasan memang 'multi-tasking' dari kerja-kerja pentadbiran hinggalah membantu pengurus kursus semasa 'berkampung' ditempat kursus berminggu-minggu lamanya. Saya juga membantu ahli-ahli jawatankuasa PROFES yang terdiri dari golongan pendidik di Sarawak jika ada program-program yang dijalankan.

Bagaimana dengan raya saya tahun ini? Raya 1 & 2 saya bersama keluarga yang dikasihi di kampung saya Serian. Raya ke 3, saya pergi ke Matu, Daro bersama rombongan kahwin rakan baik saya Izam Mahli serta keluarga berkonvoi 4 buah kereta. Perjalanan yang memakan masa hampir 11 jam ini memang amat memenatkan cuma pengalaman beraya di kampung yang majoriti Melanau ini memang memberi kenangan yang indah. Sempat bersarapan dengan buah 'kalak' bersama sagu dan ikan bilis (pusuk)..hmm..sedap.

Raya ke 6 saya balik ke Serian dan tiba jam 11.00 malam. Keesokkannya saya bergegas melapor diri di BPPMIS. Dan pada masa yang sama, kursus Guru Besar DGA32 juga bermula pada tarikh yang sama dan akan tamat pada 17 Oktober 2008 bertempat di Pusat Sumber Pendidikan di Kota Samarahan (PSPN). Ini bermaksud saya terpaksa bergegas menguruskan kursus tersebut selama 2 minggu ini disebabkan saya sudah memberitahu pihak IAB Induk yang saya akan menjadi urusetia memandangkan ketika itu, saya belum lagi dipanggil pihak BPPMIS melapor diri. Mujurlah pihak Pengurusan BPPMIS memberi kelonggaran kepada saya...terima kasih yang tidak terhingga kepada YBhg Pengarah Datu Adi Badiozaman dan Timbalannya Dr. Zulwali Kifli Merawi. Tidak ketinggalan Sdr Shahriman kerana memahami situasi saya.

Memang memenatkan, seawal jam 6 pagi saya harus membuka bilik seminar dan memasang peralatan ICT untuk penceramah, serta melihat menu sarapan pagi yang dihidangkan seperti di nyatakan dalam sebutharga, ini penting disebabkan peserta-peserta amat sensitif jika makanan dihidangkan sama setiap waktu. Selepas itu, saya terus ke BPPMIS sehingga tengahari. Jam 1 petang saya singgah di pejabat IAB Cawangan Sarawak dan selesai tugas di situ saya terus ke PSPN. Malamnya pula saya akan bersama peserta-peserta mengadakan bengkel dan perbincangan tugasan yang diberi pensyarah IAB. Walaubagaimanapun, tanggung jawab ini mesti dilaksanakan sebaik mungkin agar semua pihak (walaupun tidak semua) berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan.

Setakat ini saja perkenalan saya, 'post' akan datang, saya akan menceritakan pengalaman kerja saya yang lain. Silap kata dan ejaan harap dimaafkan. Boleh layari blog saya malaysiahospitility.blogspot.com untuk lanjut mengenai diri saya. Terima kasih.

Wassalam.

4 ulasan:

  1. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  2. Merengok ngenang duit dah jauh surut jadi angpau diberik ngan anak buah. Hahai,bulan agik awal, gaji agik lamak.

    BalasPadam
  3. ha ha ha..cam tauk2 jak duit dh surut. Doa2 kan anak baru meningkat ini diberi 'rejeki' oleh NYA.

    BalasPadam