31.10.08

OLEH-OLEH DARI SRI AMAN

Semalam (kelmarin dalam bahasa Melayu Sarawak) saya bersama dengan Tuan Pengarah, Datu Dr Haji Adi Badiozaman Tuah dan Ketua Unit Sosiobudaya, Encik Zaini Ozea pergi ke Sri Aman dengan Mawi sebagai juragan. Tujuan utama ke Sri Aman ialah menghadiri Mesyuarat Pertama Sambutan Maal Hijrah Tahun 1430H Peringkat Negeri yang akan berpusat di bandar merpati putih itu.

Mesyuarat berlangsung di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen dan dipengerusikan oleh Yang Dipertua Majlis Islam, Datuk Putit Matzen dan dihadiri sama oleh pegawai kanan Majlis Islam dan Jabatan Agama Islam Sarawak.

Dalam mesyuarat itu diputuskan yang tugas khusus Biro Perkhidmatan Pendidikan ialah mengetuai jawatankuasa dan mengendalikan Malam Kesenian Islam yang dijadualkan pada 29 Disember 2008.

Malam itu akan diisi dengan acara-acara kesenian Islam persembahan dari seluruh ceruk rantau negeri ini terutama dari sekitar Bahagian Betong-Sri Aman. Dalam mesyuarat itu seorang ketua masyarakat menegaskan supaya diberi peluang kepada kumpulan-kumpulan seni tempatan terutama kumpulan hadrah untuk mengadakan persembahan. Ini cabaran yang menarik yang akan memperkayakan kita semua dari segi pengalaman dan pengetahuan.

Mesyuarat yang bermula jam 10:30 pagi tamat jam 12:00 tengah hari dan kami kemudiannya berangkat ke Rumah Rehat Kerajaan untuk jamuan tengah hari, yang antaranya dihidangkan dengan lauk lempah udang galah, pekasam udang, sayur keladi masak lemak, sayur paku tumis dan paling istimewa buah durian dan rambutan yang bertimbun-tgimbun.

Mesyuarat Kedua peringkat ini dijadual akan diadakan pada 27 November 2008 dan Mesyuarat Ketiga, pada 22 Disember 2008.

Selepas merarau di rumah rehat kami berangkat ke bandar Sri Aman dan mencari oleh-oleh. Maka banyaklah buah-buah dijaja oleh para penjaja buah di kawasan pasar terbuka diangkut ke dalam kereta kami. Saya mengambil peluang membeli bnuah embang dan buat serait (untuk ditunjukkan kepada anak cucu buah yang biasa dimakan oleh tok ayahnya dulu tetapi jadi eksotik sekarang), selain buah manggis (dikatakan banyak benar khasiat).

Dalam perjalanan pulang kami singgah pula di salah sebuah tempat orang berjual durian di pinggir jalan. Di situ cukup lama berhenti dan tawar menawar berlaku sehingga pada akhirnya para pejual yang bernasib baik daripada kira-kira 10 penjual di situ telah memperoleh kira-kira seratus ringgit daripada rombongan kami dan kami beroleh berguni-guni dan berkotak-kotak durian daripada mereka. selain daun pandan wangi percuma untuk mengurangkan keharuam bau durian dalam kereta.

Kami sampai di pejabat selepas jam 5:00 petang dan terus balik ketika hujan lebat turun. Saya basah kuyup mengangkat buah-buahan yang saya beli sesampai di rumah. Oleh-oleh saya termasuk seguni dan sekotak durian (yang kesemuanya sedap setelah dibuka oleh anak cucu), seplastik buah manggis, dua bungkus rambutan, sebungkus buah serait dan dua biji buah embang.

Rombongan Biro bersama dengan bebereapa orang veteran dalam bidang persembahan termasuk Sharkawi Haji Amit (pakar tarian lulusan USM) dan Penghulu Haji Awang Bujangh Hamdan, kedua-duanya pakar rujuk Biro akan bermesyuarat di Sri Aman pada 6 November 2008 bertolak jam 6:30 pagi.

Masih ada lagikah durian ketika itu?

2 ulasan:

  1. wow..nelan air liur nengarnya. Sri Aman tok juak terkenal dgn kuih muih tempatan yang harganya masih dlm kadar yang sama. Pulut Panggangnya memang berlemak santan.

    Selamat berjaya dalam persembahan kelak.

    BalasPadam
  2. Asskm cgu, kmk dh ada blog..puncakserapi.blogspot.com, sila beri tunjuk ajar.

    BalasPadam