Bulan Ramadhan telah pergi meninggalkan kita. Hanya yang bersungguh-sungguh menekuni diri ketika berada di madrasah Ramadhan akan merasai kesan ruhaniyah yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Sesungguhnya bulan Ramdhan merupakan medan untuk kita membentuk diri menjadi seorang muslim yang sejati. Hanya umat Nabi Muhammad s.a.w sahaja yang mendapat keistimewaan dianugerahkan bulan Ramadhan berbanding dengan umat Nabi dan Rasul sebelumnya.
Pada Ramadhan kali ini, remaja dan belia Islam di negeri Sarawak yang berada di Bahagian Kuching dan Kota Samarahan telah melaksanakan beberapa program dan aktiviti. Tujuan program dan aktiviti ini di adakan adalah untuk mendidik mereka agar dapat menghayati dan mengisi sebaik-baiknya kewajipan dan ibadah di bulan Ramadhan. Di samping itu juga, program dan aktiviti ini dapat memberikan kesedaran kepada peserta agar sentiasa membantu dan menghulurkan pertolongan kepada yang memerlukan bantuan dan pertolongan.
Program 1 : Remaja di Halaman Sunnah
Pada 28 dan 29 Ogos 2010 bersamaan dengan 18 dan 19 Ramadhan 1431H telah di adakan satu program yang dinamakan program Remaja di Halaman Sunnah sempena sambutan Bulan Ramadhan Al-Mubarak dan sambutan Hari Kemerdekaan kali ke 53. Program ini telah memilih Masjid Jamek Negeri Sarawak sebagai tempat program dengan tujuan mendekatkan generasi muda dengan institusi Masjid sebagai pemersatu umat. Program dua hari satu malam ini telah dilaksanakan oleh Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak (BPP-MIS) dengan kerjasama Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) dan Rakan Muda BPP-MIS. Seramai 200 orang remaja dan belia yang berada di bahagian Kuching, Kota Samarahan dan Serian telah menyertai program ini. Peserta-peserta ini terdiri daripada mereka yang pernah menyertai program-program anjuran BPP-MIS. Program ini diketuai oleh Saudara Abdul Muntaqim Bin Zulkipli, Ketua Jurulatih Program Pembangunan Belia BPP-MIS dan dibantu oleh Rakan Fasilitator BPP-MIS.
Program ini telah dimulai dengan ucapan dan perkongsian ilmiah bersama Yang Berbahagia Datu Dr. Hj Adi Badiozaman Tuah, Pengarah Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak. Analisis mengenai kondisi masyarakat Islam pada hari ini merupakan topik utama yang menjadi perkongsian beliau bersama para peserta dengan harapan ianya dapat membuka mata dan hati peserta agar lebih serius dalam memahami peranan mereka sebagai generasi muda harapan umat.
Di akhir slot beliau, para peserta telah menghadiahkan kek sempena sambutan ulang tahun kelahiran YBhg Datu pada 15 Ogos yang lalu. Semoga YBhg sentiasa diberikan kesihatan yang berpanjangan demi meneruskan agenda memperkasa ummah.
Selesai solat Asar berjemaah, program diteruskan dengan mengumpulkan peserta di dalam beberapa kumpulan kecil. Perkongsian ilmiah yang disampaikan oleh Pengarah BPP-MIS menjadi asas perbincangan di dalam sesi ini. Peri pentingnya remaja dan belia memikirkan tentang perkara yang lebih serius dan ilmiah kerana perbincangan seperti ini dapat menghindarkan mereka daripada terus berbudaya ‘jiwa santai dan mati rasa’. Semestinya kita tidak menginginkan generasi akan datang merupakan generasi yang sentiasa jiwanya merasa santai, sentiasa dalam keadaan yang ‘relax’ dan tidak bersungguh-sungguh dalam mencapai maksud dan tujuan hidup. Sikap seperti ini merupakan umpan yang boleh menjerat remaja untuk memilih terlibat di dalam permasalahan sosial kini.
Justeru, betapa pentingnya menggerakkan usaha menanam budaya cintakan ilmu dan memperkemaskan pandangan hidup Islam yang betul. Usaha seperti ini bersifat berterusan dan hasilnya tidak dapat dituai dalam masa yang singkat. Usaha menggalakkan para peserta berpersatuan juga ditekankan agar mereka sentiasa dapat belajar memperbaiki diri, memperkukuhkan kemahiran-kemahiran diri seperti kepimpinan, keyakinan diri, pengurusan organisasi, pengucapan awam dan sebagainya. Apa yang penting adalah dengan menyertai persatuan, akan wujud sekumpulan remaja dan belia yang mempunyai inisiatif melaksanakan aktiviti dan program yang banyak memberikan kebaikan kepada mereka dan rakan-rakan. Dengan adanya persatuan dan hubungan yang baik sesama ahli diharapkan dalam menjadi faktor mengurangkan penglibatan remaja di dalam permasalahan sosial hari ini.
Pada jam 5.30 petang, YB Tuan Hj Fadillah Bin Hj Yusof, Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi telah menyampaikan ucaptama dan sekaligus merasmikan program Remaja di Halaman Sunnah untuk tahun ini. Di dalam ucapan beliau, beliau mengingatkan kepada remaja dan belia Islam Sarawak tentang kepentingan ilmu di dalam kehidupan. Ilmu menjadi penyuluh dalam melayari kehidupan dunia yang begitu mencabar. Ilmu yang benar akan membimbing kita ke jalan yang benar. Seharusnya diusia muda ini kita sepatutnya mempunyai semangat dan tenaga untuk menuntut ilmu.
Para peserta berpeluang berbuka puasa bersama-sama dengan YB Tuan Hj Fadillah Bin Hj Yusof, YBhg Tuan Hj Mohamad Sabri Bin Hj Othman yang merupakan Pengerusi Besar Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS), dan YBhg Dr. Akbar Bin Ibrahim, Ketua Unit Pendidikan Am, Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak (BPP-MIS) dan Cik Aminah Ismail, Penyelaras Program tersebut.
Usai solat sunat terawih, para peserta dibahagikan di dalam kumpulan untuk bertadarus Al-Quran. Melalui bertadarus Al-Quran ini kita dapat mengenal pasti para peserta yang belum fasih membaca Al-Quran. Melalui bertadarus ini, kita juga dapat mengenalpasti adakah para peserta menjadikan pembacaan Al-Quran ini sebagai rutin kehidupan mereka.
Para peserta berpeluang untuk melaksanakan Qiamulail pada jam 3.30 pagi. Solat-solat sunat telah diimamkan oleh YBhg Ustaz Norhanizam bin Mohd Tajuddin. Selesai solat Subuh berjemaah, para peserta mengikuti Kuliah Subuh yang telah dijadualkan oleh pihak masjid. Kuliah subuh telah disampaikan oleh AlFadhil Ustaz Hj Syam’un.
Pada jam 8.00 pagi, para peserta kembali ke dalam kumpulan perbincangan masing-masing untuk merumuskan seluruh perbincangan yang dibuat oleh mereka.
Program 2 : Semurni Qaseh Ramadan 1431H
Dari Muaz Bin Jabal r.a berkata; Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda; “Apakah kamu mahu aku tunjukkan pintu-pintu kebaikan?”. Lalu saya berkata; “Sudah tentu Ya Rasulullah”. Rasulullah s.a.w bersabda; “Puasa itu adalah benteng, manakala sedeqah memadamkan kesalahan sebagaimana air yang memadamkan api.” (Hadis Riwayat At Tarmizi)
Projek Semurni Qaseh Ramadan ini telah diuruskan sepenuhnya oleh Rakan Fasilitator BPP-MIS dan Rakan Muda BPP-MIS dengan kerjasama Persatuan Wanita Majlis Islam Sarawak (HUMAIRA). Ini merupakan tahun kedua aktiviti ini dijalankan sepanjang bulan Ramadan Al Mubarak. Tujuan aktiviti seperti ini dijalankan adalah untuk memberi peluang kepada golongan remaja dan belia mengumpul,mentadbir urus dan mengagihkan sumbangan orang ramai kepada keluarga-keluarga yang kurang bernasib baik. Diharapkan sumbangan yang diberikan itu dapat membantu mereka membuat sedikit persiapan menyambut Aidilfitri. Seramai 50 rakan fasilitator dan rakan muda BPP-MIS terlibat dalam menjayakan aktiviti kali ini.
Di antara kawasan-kawasan yang mereka pilih untuk disalurkan bantuan adalah Kampung Kudey Baru, Kampung Telaga Air, Kampung Tanjung Bundong Fasa 1, Kampung Tebekang dan Kampung Melayu Balai Ringin. Sejumlan 50 buah keluarga telah dipilih untuk menerima sumbangan ini.
Projek ini telah dibahagikan kepada empat fasa. Fasa pertama adalah usaha untuk mengedarkan poster-poster Semurni Qaseh Ramadhan bagi memberitahu kepada masyarakat yang ingin menyumbang yang berbentuk pakaian dan barangan keperluan untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan. Fasa kedua adalah usaha untuk mengenal pasti keluarga-keluarga yang boleh diberikan bantuan dan sumbangan tersebut. Rakan Fasilitator Kuching telah turun padang meninjau kawasan-kawasan tempat tinggal mereka dan kawasan sekitarnya untuk mengumpulkan sedikit maklumat dan latar belakang keluarga tersebut. Manakala Rakan Fasilitator Kota Samarahan telah bekerjasama dengan Penghulu Kampung untuk mengenalpasti keluarga-keluarga tersebut.
Pada Fasa Ketiga pula merupakan fasa untuk mentadbir urus sumbangan-sumbangan orang ramai. Fasa ini telah dilaksanakan di Bilik Kegiatan Belia, Pusat Kegiatan Aktiviti BPP-MIS yang terletak di Jalan Sultan Tengah. Rakan Muda BPP-MIS terutamanya bekas peserta program PEWARIS merupakan penggerak utama bagi fasa ketiga ini. Fasa keempat merupakan fasa mengagihkan sumbangan dan bantuan kepada keluarga-keluarga yang terpilih. Ternyata Rakan Fasilitator BPP-MIS tidak pernah jemu memberikan sokongan di antara satu sama lain ketika menghantar bantuan tersebut. Biarpun hujan dan panas silih berganti, jalan yang dilalui kotor dan berpasir tetapi mereka tetap berjiwa besar demi memastikan sumbangan orang ramai telah sampai kepada keluarga yang memerlukan. Pengalaman dikejar anjing, motorsikal kehabisan minyak petrol, kemalangan kecil, ketinggalan bas dan sebagainya adalah cabaran-cabaran yang dilalui oleh mereka.
Tahniah dan terima kasih kepada semua Rakan Fasilitator dan Rakan Muda BPP-MIS. Terima kasih juga kepada penyumbang-penyumbang terutamanya kepada Freeway Design Company yang merupakan penyumbang terbanyak bagi siri kali ini. Mudah mudahan program seperti ini dapat membuka mata dan hati golongan muda agar dapat berfikir dengan lebih kehadapan terutamanya dalam menyumbangkan sesuatu buat masyarakat.
Program 3 : Program Motivasi Pelajar SPM SMK Balai Ringin.
Program selama dua hari satu malam ini telah dilaksanakan pada 4 dan 5 September 2010M bersamaan dengan 25 dan 26 Ramadan 1431H. Seramai 30 orang pelajar hadir dan program ini telah dijayakan oleh Masjid Kampung Melayu Balai Ringin dengan kerjasama Rakan Fasilitator Serian dan Kuching.
Program 4 : Alumni Kem Remaja Unggul 2010
Rakan Fasilitator Kuching mengambil peluang sempena Ramadan kali ini dengan membuat satu siri program susulan (follow up) bersama-sama bekas peserta program Kem Remaja Unggul yang dilaksanakan pada bulan Mei yang lalu. Program ini telah dijalankan di Bilik Kegiatan Belia di Pusat Kegiatan BPP-MIS pada 28 dan 29 Ogos 2010. Pada malam 28 Ogos, para peserta telah dikumpulkan bersama-sama di dalam program Remaja di Halaman Sunnah sebelum mereka meneruskan aktiviti pada keesokkan paginya. Seramai 20 orang alumni kem ini telah hadir mengisi Ramadan mereka dengan aktiviti yang bermanfaat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan