24.6.09

Lawatan ke 'Tunku Putra International School'











23 Jun 2009, 2.30 petang, di atas jemputan pihak SEDIDIK kami tiba di Tunku Putra School yang berlokasi di Jalan Stadium, Petra Jaya Kuching.

Dr Sue Collins yang juga Pengetua sekolah tersebut menyambut kedatangan kami dan memberi taklimat ringkas mengenai sesi pembelajaran yang dibuat. Selepas itu beliau membawa kami melihat aktiviti-aktiviti harian sekolah tersebut.

Sekolah Tunku Putra telah ditubuhkan pada tahun 1997 dan memuatkan kanak-kanak dari usia 3 tahun hinggalah 17 tahun meliputi Tadika, Sekolah Kebangsaan dan Kelas Antarabangsa. Uniknya sekolah ini program pendidikan di sini menititik beratkan kualiti yang tinggi. Ini termasuklah guru-guru yang mengajar, supaya sama tara dengan kurikulum kebangsaan dan antarabangsa.

Sekolah yang mengambil nama Perdana Menteri pertama Malaysia iaitu Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mempunyai keluasan 22 ekar. Tunku Putra mencipta suasana yang kondusif untuk pembangunan sesi pembelanjaran dengan memberi ruang kepada guru-guru untuk lebih perhatian kepada setiap kanak-kanak. Ruang kelas dikecilkan untuk mendedahkan kanak-kanak kenal rakan melalui nama dan sikap mempunyai. Bahasa Inggeris adalah bahasa utama di sekolah ini, tidak hairanlah mereka amat fasih berkomunikasi dalam bahasa tersebut.

Pembelajaran di Tunku Putra adalah perjalanan bersama dengan Pengetuanya, guru-guru dan kakitangan lain memainkan peranan bagi memastikan murid-murid capai potensi mereka. Kurikulum sekolah dicipta khas untuk menggalakkan semangat murid-murid mencari ilmu pengetahuan, makna, kefahaman dengan pembangunan kemahiran jangka masa panjang dalam kehidupan.

Sekolah ini mempunyai tambahan aktiviti seperti drama, sukan serta mesra dikalangan warga. Sebagai tambahan kurikulum yang lengkap, Tunku Putra menawarkan pembelajaran IT, muzik, bahasa (termasuk Bahasa Melayu dan Mandarin) dan seni lukis di dalam premis.

Tunku Putra adalah sekolah harian yang beroperasi dari jam 8.00 pagi sehingga 4.00 petang, sebagai tambahan untuk keselesaan ibu bapa, sekolah menawarkan perkhidmatan 'after school care' sehingga jam 4.45 petang sahaja.

Sungguh seronok dengan telatah kanak-kanak kecil dengan sifat semulajadi mereka yang riang ceria. Tambahan guru-guru amat 'sporting' sehingga ke tahap menjadi kanak-kanak juga. Kemudahan-kemudahan yang disediakan di dalam dan luar kelas amat mengkagumkan kami. Setiap kelas mempunyai bilik air bersaiz kanak-kanak dan paling menyelesakan setiap bilik-bilik di sini termasuk dalam dewan mempunyai alat pendingin hawa.

Jam 3.30 petang kami bersurai dan merakam gambar sebagai tanda kenangan.
Terima kasih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan