20.5.09
Cerita Tentang Kupu-Kupu
Saya mempunyai anak saudara bernama Aiqal atau saya lebih mesra memanggilnya Pitul. Dia baru berusia 6 tahun dan mempunyai seorang abang dan adik lelaki. Pitul memang terkenal dengan kenakalannya di kawasan rumah tempat dia tinggal. Dia memang rapat dengan saya sebagai Usunya dan juga dia agak takut jika saya menegur kesalahannya berbanding dengan orang lain.
Ceritanya begini, malam semalam Pitul pergi ke rumah neneknya. Seperti biasa, dia akan membuat perangai 'aktif' nya. Tiba-tiba dia ternampak kupu-kupu yang dia gelarkan rama-rama hinggap dilantai, terus dia ambil sebatang lidi dan menyebat bertalu-talu tanpa sedikitpun perasaan kesian. Terus saya melarang dan bercerita...
"Rama-rama mahupun kupu-kupu sama sifatnya.
Sesudah keluar dari kepompong yang dibuat dari dedaun luruh menjelma makhluk yang sungguh cantik dan lembut sambil mengibas sayapnya yang nipis.
Jika ribut dan berangin kuat, ia berkerja keras untuk melawan supaya tidak dibawa angin.
Dengan mempunyai mata 3 dimensi dan sesungut, membolehkan ia sentiasa berwaspada kecuali ia leka.
Tumbuhan pelbagai warna dimana tempat ia menghisap madu mencantikkan lagi rupa dan lenggok ketika ia terbang menampakkan keindahan yang tiada tolok bandingan ciptaan Allah Yang Maha Esa ini.
Ia mempunyai susuk fizikal yang nampak lemah, seolah-olah tidak dapat dikasari, jika dikasari akan luruhlah cebisan sayapnya.
Tetapi ia sungguh cekal untuk meneruskan hidup.
Nah.. sekarang ada manusia yang berganda besar darinya cuba menangkap dan 'bermain' dengan tubuh kecilnya itu. Ada yang berjaya menangkapnya terus disimpan dalam balang kaca sambil ia meronta-ronta ingin keluar.
Ada yang cuba memukulnya dengan pelbagai cara sambil ia berjuang menyelamatkan dirinya berpusing ligat. Manusia terkenal dengan sikap 'pantang dicabar'. Selagi tidak dapat selagi itulah mencuba.
Malangnya ia sudah letih dan terjatuh di lantai. Tanpa belas ihsan, manusia menyebat, memukul dan memijak tanpa ada perasaan kesian dengan makhluk yang cukup mulus ini.
Itulah nasib kupu-kupu, ia sungguh cantik akan tetapi dijadikan bahan buruan permainan tanpa mengira perjuangan hidupnya..."
Saya berhenti di situ, dan Pitul hanya tersengih.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan